Laman Web K-Ekonomi


Artikel No. 2

MENYERTAI K-EKONOMI

PADA penghujung Ogos ini, projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berperanan sebagai platform usaha pembangunan multimedia dan teknologi maklumat (IT) akan genap lima tahun. Sehingga kini kerajaan meneruskan usaha memperluaskan ruang lingkungan pembangunan berkenaan.

Dalam senarai istilah baru era IT, Ekonomi-Pengetahuan (k-ekonomi) turut menjadi 'anggota' terbarunya. Tumpuan ke atas bidang k-ekonomi merupakan langkah terbaru dalam usaha yang dimaksudkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyifatkannya sebagai inisiatif kedua pembangunan negara. Atas sifat Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun, tahap dan skop pembangunan ekonomi perlu terus berkembang. Pelaksanaan K-ekonomi akan menambah sifat dinamik kepada pembangunan ekonomi.

Kita tidak dapat lari daripada cabaran dan tanggungjawab berkenaan memandangkan k-ekonomi telah dikelaskan sebagai sebahagian daripada unsur global yang perlu diterima.

''Jika Wawasan 2020 adalah langkah strategik yang pertama, langkah kedua ini akan digelar inisiatif strategik satu abad ke-21,'' demikian gambaran Dr. Mahathir pada minggu lalu.

Beliau juga berkata, ekonomi baru dan k-ekonomi adalah perlu kerana lebihan kerja-kerja kabur.

Rakyat perlu peka kepada perkembangan baru yang dinamakan k-ekonomi memandangkan ia begitu penting kepada daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, manakala kerajaan pula perlu mengambil tindakan, di samping memandang serius mengenai kesannya dalam jangka panjang. K-ekonomi kini telah menjadi sebahagian daripada elemen yang memperkukuhkan daya saing dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.

Selain daripada apa yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin ketika membentangkan cadangan Belanjawan 2000 pada 29 Februari lalu dan penjelasan Dr. Mahathir minggu lalu berkenaan dengan inisiatif kerajaan untuk menubuhkan pelan induk dalam bidang k-ekonomi, pelbagai pihak termasuk Akademi Sains Malaysia juga sedang meneliti perkara ini.

Ia sejajar dengan keperluan bahawa pemahaman mengenai k-ekonomi sewajarnya dipertingkatkan di kalangan rakyat negara ini sama ada orang perseorangan atau pun kumpulan tertentu di kedua-dua sektor kerajaan dan swasta. Tanpa pemahaman yang terus, mendalam dan terperinci, adalah sesuatu mustahil untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan.

''Menjadi kewajipan kepada negara bagi mencapai daya saing yang kukuh dalam k-ekonomi, mempertingkatkan pencarian ilmu dan penggunaan teknologi dalam bidang tradisional seperti pertanian dan makanan... bukan hanya dalam bidang IT dan multimedia semata-mata,'' kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman.

Omar mengemukakan tafsiran sendiri mengenai k-ekonomi. Kata beliau: ''Penggunaan ilmu dan teknologi yang lebih intensif dan mantap dalam semua sektor ekonomi (teknologi tinggi dan tradisional), dan dalam pengurusan awam dan korporat.''

Malah penggunaan IT dalam pertanian, jika digembleng dengan pemboleh teknologi yang lain seperti bioteknologi, ia akan melipatgandakan keberkesanan industri pertanian dan keuntungan yang diperoleh daripadanya.

''Oleh itu, sudah sampai masanya pertanian dan makanan dibawa semula ke dalam arus utama pembangunan ekonomi Malaysia dan pelaburan yang mencukupi disediakan untuk memperkukuhkan asas ilmu yang pokok kepada pertumbuhan pertanian dan makanan,'' jelas beliau lagi.

Penjelasan itu bermakna penggunaan teknologi dalam semua aktiviti ekonomi dan juga setiap aktiviti sosial dan pengurusan swasta dan kerajaan.

Usaha Akademi Sains Malaysia timbul daripada tugas yang diberikan kepadanya oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar untuk membuat kajian semula ke atas Dasar Sains Negara yang diperkenalkan pada 1986.

''Dalam usaha membuat tinjauan kembali ini, saya telah mencadangkan kepada Akademi Sains supaya tinjauan dibuat dalam konteks daya saing Malaysia dalam k-ekonomi.

''Ini akan meneliti bukan sahaja peranan sains dan teknologi untuk membolehkan Malaysia mengambil peranan yang sewajarnya dalam k-ekonomi tetapi juga mengaitkan sains dan teknologi dalam pelbagai aspek lain,'' katanya yang juga Presiden Akademi Sains Malaysia.

Pada pandangan Omar, tumpuan kerajaan kepada IT dan multimedia adalah satu tumpuan yang penting. Beliau menekankan: ''Apa yang perlu dibuat sekarang ialah memberi tumpuan yang sama kepada sektor ekonomi keseluruhannya.'Kalau kita mentafsirkan k-ekonomi sebagaimana yang saya katakan tadi, ini bermakna tumpuan yang seimbang akan diberi kepada sektor ekonomi yang tradisional, bukan sahaja kepada teknologi tinggi.''

''Semua sektor industri kita mesti peka kepada teknologi baru dan mesti bersedia menerap teknologi baru yang dapat meningkatkan keberkesanan dan juga bersifat anjal dan mendatangkan keuntungan,'' katanya lagi.

Kita tidak harus terus menerus menggunakan kaedah lama, tidak harus berpuas hati dengan cara bekerja atau pun mengekalkan cara pembuatan berdasarkan tahap sedia ada. Ia merupakan pra syarat mengejar kelebihan dan kekuatan k-ekonomi. ''Kita mesti sentiasa memperbaiki pembuatan, pengurusan dan pemasaran,'' jelas beliau lagi.

Negara kini bertolak dari tahap yang menekankan keperluan kemahiran di kalangan pekerja kepada tenaga kerja berpengetahuan tinggi. IT hanya merupakan satu daripada pemboleh IT yang berupaya membawa seseorang ke tahap yang berproduktif dan berdaya saing.

Dalam k-ekonomi, menurut beliau, banyak lagi pemboleh yang sentiasa diberi perhatian. Misalnya, dalam sektor industri pemakanan, bioteknologi adalah satu lagi kumpulan teknologi pengguna. ''Kita jangan lupa perkara ini,'' ujar beliau.

''Kita masih juga dalam sektor pembuatan, banyak perkara yang berlaku sekarang dalam bahan termaju, yang membolehkan proses pembuatan yang lebih cepat, tinggi ketepatan. Kita boleh membuat sesuatu komponen secara halus, tepat, cepat (dengan penguasaan k-ekonomi),'' tambah beliau.

Kemajuan manusia sememangnya bergantung kepada pengetahuan dan kemudian ditukar kepada teknologi. Justeru, apakah peranan sebenar k-ekonomi dalam situasi sedemikian?

Jelas beliau: ''Apa yang berlaku sekarang ialah mendapatkan pengetahuan lebih bersepadu, cepat.'' Aspek berkenaan yang membezakan kelainan dan perbezaan antara k-ekonomi dengan ciri-ciri lain, termasuk kemahiran. Masih tidak ramai antara rakyat Malaysia yang memahami secara sepenuhnya k-ekonomi. Bagaimanapun konsep sedemikian bukan sesuatu yang baru dalam era perindustrian Malaysia.

''Misalnya, Wawasan 2020 mempunyai konsep (yang ada kaitan dengan) k-ekonomi ketika ia dilancarkan (pada 1991). Begitu juga dalam Pelan Induk Perindustrian (IMP) II. Pada pelan itu, unsur k-ekonomi dalam mempunyai kesamaan dengan konsep peningkatan pengeluaran. ''Tapi dengan k-ekonomi, kita melakukan lebih daripada konsep ini, yang merupakan pokok kepada sektor pembuatan,'' katanya.

Ia merupakan salah satu faktor kerajaan dari awal-awal lagi menggesa sektor pembuatan dan pengeluaran turut memberi tumpuan ke atas bidang penyelidikan dan pembangunan. Omar mengakui bahawa dari segi pembuatan, memang ada syarikat Malaysia yang telah memasuki era k-ekonomi. ''Tetapi kita hendak lebih banyak lagi, hendak semua syarikat membuat R&D, mereka bentuk dan menggunakan jenama sendiri. Bilangan itu mungkin masih kecil lagi,'' katanya lagi.

Pengerusi Bersama Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi (MiGHT) itu juga berharap Pelan Induk k-ekonomi yang sedang direncanakan oleh kerajaan akan membantu sektor ekonomi. ''Kita harap kertas dasar yang kita buat ini (oleh Akademi Sains Malaysia) akan menjadi input kepada pelan induk itu. Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) II juga melihat perkara ini,'' jelas beliau lagi.

Elemen k-ekonomi akan menjadi sebahagian daripada intipati Rancangan Malaysia Kelapan dan rancangan pembangunan jangka panjang yang sedang dikaji oleh Mapen II.
Kerajaan tidak berupaya mengambil keseluruhan tindakan. Swasta perlu memainkan bahagian aktif dan mesti mendapat sokongan penuh pelbagai pihak - masyarakat, pekerja.

Kajian Akademi Sains Malaysia itu juga antara lain mengesyorkan penubuhan Sistem Inovasi Negara yang memerlukan penglibatan semua pihak dalam melaksanakan k-ekonomi, kata Omar dan menambah:

''Meliputi aspek-aspek untuk menambah keupayaan, mendapat dan mencari ilmu dan teknologi baru, dan untuk memindah teknologi ini kepada pasaran dan swasta.'' Dari segi cabaran, terutamanya yang berkaitan dengan penerimaan k-ekonomi, Malaysia tiada jalan lain melainkan memasuki era tersebut.

''Yang mungkin menjadi kesulitan ialah keupayaan kita menyediakan k-pekerja - pekerja berilmu yang menjadi pokok kepada kejayaan k-ekonomi.

''Kita terpaksa pergi menjangkaui batasan pekerja mahir, pekerja yang berdaya inovatif, yang tidak segan mengambil risiko,'' kata beliau yang turut menyifatkannya ia sebagai mempunyai implikasi yang mendalam.

Institusi kewangan juga harus ada keupayaan untuk menilai dan membuat pendirian baru mengenai idea baru itu.

''Kita perlu menggalakkan kumpulan usahawan yang ramai, mendapat sokongan institusi kewangan mengikut garis panduan yang baru, bukannya lama,'' katanya.

Pendek kata, setiap sistem yang berkaitan, misalnya budaya pengurusan, kerja, penghargaan dan ganjaran mesti berubah.

Keseluruhan proses perundingan kebangsaan, sumbang saran, draf dan penggemblengan untuk menghasilkan pelan strategik kebangsaan mengenai k-ekonomi dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dari sekarang.

Kerajaan yakin melalui perubahan kepada k-ekonomi, yang mana kandungan pengetahuan dan sumbangan ilmu akan mengalami lonjakan hebat, ekonomi dan masyarakat Malaysia tidak akan seperti dahulu lagi.

Segenap lapisan masyarakat perlu memahami dan memainkan peranan dalam menjayakan kandungan Pelan Induk k-ekonomi kelak. Tanpa penyertaan menyeluruh, kita tidak boleh mencapai kejayaan.


Utusan Malaysia, Isnin 13 Mac 2000


Links: